31 Jan – 1 Feb 2020 – Kem Latihan & Rekreasi Sungai Congkak, Hulu Langat

Kemahiran memimpin, bekerjasama amat ditekankan di dalam sesebuah organisasi. Ia boleh dipertingkatkan dengan disiplin diri dan latihan dari masa ke semasa. Latihan kepimpinan lazimnya dilatih sejak dari sekolah lagi, memberikan keyakinan dan kebolehan pada setiap pelajar bagi membina sahsiah diri untuk menjadi seorang yang cemerlang.

Seramai 30 orang pelajar Al Imtar yang memegang jawatan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya dan Ketua Kelas bagi sesi 2020 menyertai Kem Kepimpinan Khalifah Muda yang berlangsung di Kem Latihan & Rekreasi Sungai Congkak, Hulu Langat. Objektif kem adalah untuk menerapkan dalam diri pemimpin-peminpin muda ini sifat bertanggungjawab, memperkasakan sifat kepimpinan dan sifat kerjasama antara pelajar berlainan jawatan dan usia. Program disusun oleh pihak kem dan diketuai oleh fasilitator Cik Fatin sebagai ketua jurulatih bersama 2 jurulatih yang lain. Beliau didatangkan khas dari PVR Training Centre & Consultancy dengan kerjasama pihak kem. Pelajar juga dipimpin oleh Penghulu (Muhammad Aris Darwish – Tahun 6) dan penghuluwati (Azra Sofreena – Tahun 6) sebagai satu slot LDK yang dijadualkan.

Pelbagai latih tubi diatur dalam program seperti khidmat diri, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), game station, senamrobik, Teknik berdiri & arahan, tazkirah, jungle trekking. Majlis berakhir dengan upacara penutup yang disempurnakan oleh Ustaz Mohd Shukri Md Yatim (Mudir) dan pemberian cenderahati kepada pihak kem sebagai tanda terima kasih dan kenangan. Diharap program seperti ini dapat memperkasakan jati diri, menaikkan keyakinan dan motivasi kepada semua peserta program dalam menjadi seorang pelajar yang cemerlang.